SHAH ALAM, 23 OKT: Jr Sahara Playland, taman permainan kanak-kanak tertutup kini dibuka di pusat membeli-belah AEON Mall yang menawarkan tiket serendah RM20.
Diusahakan syarikat Pelangi Planet Sdn Bhd, taman permainan itu memiliki keunikan tersendiri dengan mengenengahkan konsep, hiasan dalaman dan persekitaran bertemakan dunia padang pasir.
Menurut Pengerusinya Dato’ Mirnawan Nawawi, taman permainan itu keluasan 16,000 kaki persegi dan mampu memuatkan kira-kira 200 orang dalam satu-satu masa dengan menyediakan puluhan ruang dan unit permainan yang pelbagai.

“Kita mula bentangkan konsep taman permainan ini kepada pihak AEON Mall awal Januari lalu kemudian selepas kedua-dua pihak bersetuju, kita mulakan fasa pembangunan April lalu sehingga ia dibuka 3 Oktober lalu.
“Kita membuka Jr Sahara Playland ini selepas memikirkan bahawa perlunya sebuah taman permainan di Shah Alam yang berkualiti setanding seperti di Kuala Lumpur tetapi menawarkan pada harga murah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Jr Sahara Playland yang disempurnakan Orang Besar Daerah Petaling Dato’ Emran Kadir di sini hari ini.

Mirnawan yang juga legenda hoki negara turut mengalu-alukan ibu bapa berkunjung ke taman permainan itu membawa anak-anak terutama ketika cuti hujung minggu.
Sempena pelancaran bermula hari ini hingga 27 Oktober, Jr Sahara Playland menawarkan promosi khas beli satu tiket (kanak-kanak) percuma tiket ibu bapa atau penjaga manakala orang kurang upaya turut diberi harga khas.
Terletak di tingkat 3 AEON Mall, Shah Alam, harga tiket hari bekerja RM20 (kanak-kanak bawah dua tahun); RM35 (kanak-kanak tiga tahun ke atas).
Manakala pada hari minggu RM25 (kanak-kanak bawah dua tahun) dan RM49 (tiga tahun ke atas) serta penjaga hanya dikenakan RM10.
Berita penuh di : Taman permainan berciri padang pasir tarikan terbaharu di Shah Alam – Selangorkini